GDPR Cookie Consent by Free Privacy Policy Generator

COVID-19: Paling merugikan bagi sektor hartanah pada 2020

KUALA LUMPUR:Wabak koronavirus menjadi faktor yang paling merugikan bagi sektor hartanah komersil pada 2020, diikuti dengan keadaan ekonomi negara, ketersediaan dana, hasil dan pulangan, menurut satu kaji selidik oleh perunding hartanah global, Knight Frank Malaysia.

Firma itu dalam Kaji Selidik Sentimen Pelaburan Hartanah Komersil Malaysia (CREISS) 2020 berkata majoriti responden merasakan Bajet 2020, pelaburan langsung asing (FDI) dan kajian semula asas tahunan Cukai Keuntungan Hartanah (RPGT) adalah tidak begitu signifikan dalam merangsang pasaran hartanah komersil.

Sebaliknya, faktor yang paling mengesankan adalah pengurangan dalam Kadar Dasar Semalaman (OPR), pengembalian semula projek-projek mega dan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020). Bagaimanapun, kempen VM2020 telah dibatalkan berikutan pandemik COVID-19 manakala pemulihan semula projek-projek mega mungkin akan tertangguh.

Kaji selidik itu telah dijalankan pada Februari 2020 dan mendapati ramai responden bersikap agak pesimis walaupun sebelum coronavirus diisytiharkan sebagai pandemik global pada bulan berikutnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Knight Frank Malaysia, Sarkunan Subramaniam berkata pasca-COVID 19 yang akan menyaksikan persekitaran operasi perniagaan yang sukar akan memberi tekanan ke atas paras kepenghunian serta penyewaan ruang pejabat, peruncitan dan hotel/riadah.

"Selain daripada moratorium enam bulan automatik ke atas semua pinjaman bank, cukai harta seperti cukai pintu dan penilaian bagi separuh tahun kedua 2020 hendaklah dikecualikan termasuk pengurangan duti setem untuk meminimumkan kesan COVID-19 ke atas pasaran hartanah Malaysia.

"Sudah sampai masa untuk kerajaan mengurangkan langkah pembekuan bagi merangsang aktiviti transaksi dan menggalakkan pelaburan jangka panjang," katanya.

Pengarah Eksekutif Pasaran Modal, James Buckley ketika mengulas mengenai penyewaan serta nilai menjangkakan sewa komersil akan jatuh manakala pelabur akan membuat elaun yang lebih tinggi untuk kekosongan dan keupayaan penyewaan semula ruang, ini akan memberi tekanan ke atas harga pada bulan-bulan akan datang.

"Keadaan negatif ini, bagaimanapun, boleh diubah dengan mengimbangi pengaruh pengurangan kadar faedah yang ketara, pelepasan permintaan pengguna yang timbul selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditarik balik, dan kesan langkah rangsangan ke atas ekonomi," katanya.

Daripada segi pelan pelaburan, terdapat pelaburan yang lebih rendah dalam subsektor pejabat, runcit dan hotel/riadah pada 2020 walaupun peserta industri telah menyatakan minat untuk meningkatkan pelaburan dalam sektor logistik/industri, penjagaan kesihatan serta institusi.

Bagaimanapun, pemaju tidak dijangka untuk mempercepatkan pelaburan mereka dalam sub-sektor logistik/industri.

Dari sudut lain, pengguna akhir pengilang dan industri sedang mencari langkah tambahan untuk menjana kedudukan tunai yang lebih baik berbanding kaedah tradisional mereka dalam mengembangkan kredit, khususnya bagi mengukuhkan kemampanan perniagaan mereka.

"Selepas PKP nanti, banyak syarikat berpotensi boleh melupuskan item yang memiliki impak yang besar dalam lembaran imbangan mereka iaitu hartanah. Penjualan dan pajakan boleh membantu untuk meningkatkan baki tunai, mengurangkan hutang serta pasa masa yang sama, boleh membasmi gangguan kepada perniagaan mereka.

"Memandangkan faktor yang kukuh ini, kami menjangkakan jualan dan pajakan semula akan terus meningkat tidak lama lagi. Selain mengumpul dana untuk pengeluar dan usahawan, ia juga mampu menampung permintaan dana dan REIT (amanah pelaburan hartanah) yang sentiasa mencari pelaburan jangka panjang yang baik," kata Pengarah Eksekutif Pasaran Modal Allan Sim.