GDPR Cookie Consent by Free Privacy Policy Generator

Hi HOME, Lazada bekerjasama jual rumah dalam talian

KUALA LUMPUR: Hi HOME Dotcom Sdn Bhd bekerjasama dengan penyedia platform e-dagang, Lazada bagi menawarkan hartanah terbaik serendah RM110,000 kepada pembeli, menerusi ekspo hartanah secara dalam talian buat pertama kali di Asia Tenggara sempena Kempen 'Mid Year' 07.07.

Pembeli boleh melihat unit hartanah di platform Lazada dan hanya

perlu membeli baucar serendah RM88 yang kemudiannya boleh ditebus bagi mendapatkan tawaran hebat seperti diskaun dan rebat tunai untuk projek yang terbabit.

Selari dengan agenda Hi HOME yang sentiasa menjadikan proses membeli rumah lebih mudah dan berkesan, ia bekerjasama dengan Lazada, iaitu sebuah platform e-dagang nombor satu di Malaysia, yang mempunyai capaian sehingga satu pertiga daripada rakyat di negara ini.

Melalui kerjasama ini, Hi HOME memperkenalkan pengalaman membeli rumah baharu kepada rakyat Malaysia, apabila mereka kini boleh melayari dan menempah rumah idaman mereka di platform Lazada secara eksklusif di LazMall dan juga melalui sesi 'Live Streaming' di LazLive.

Ketua Pegawai Pemasaran Lazada Malaysia, Diana Boo, berkata krisis kesihatan hari ini meningkatkan permintaan kepada pengalaman membeli-belah secara digital.

"Kami melihat perubahan yang ketara dalam landskap perniagaan dan sikap pengguna dalam membeli-belah ketika COVID-19 dan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak lima bulan lalu di Malaysia dengan e-dagang menjadi keperluan utama dalam memenuhi permintaan pengguna.

"Kami amat teruja untuk menjalinkan kerjasama dengan Hi HOME di platform Lazada dalam menjadikan proses membeli hartanah lebih mudah.

"Sesi penstriman secara langsung melalui LazLive adalah medium terbaik untuk penjual atau pemaju hartanah berinteraksi dengan bakal pembeli selari dengan normal baharu," katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif Hi HOME, Radzi Tajuddin, berkata fokus syarikat itu adalah untuk sentiasa mempromosikan agenda pemilikan rumah dan bagi tujuan itu, ia bekerjasama dengan pemaju hartanah bagi memastikan tawaran terbaik kepada pembeli.

"Kami menyasarkan diskaun sehingga 30 peratus dengan harga unit rumah paling rendah adalah RM200,000. Tawaran ini hanya boleh diperolehi di 'Hi HOME Porperty Expo' melalui Lazada," katanya.

Kerajaan memperkenalkan semula Kempen Pemilikan Rumah (HOC) 2020 di bawah Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek (PENJANA) yang memberikan banyak manfaat kepada pembeli rumah.

HOC diperkenalkan pada tahun 2019 bagi merangsang penjualan hartanah.

HOC 2020 menawarkan insentif yang sama iaitu pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik (MoT) dan perjanjian pinjaman, serta pengecualian Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) ke atas pelupusan rumah kediaman sehingga 31 Disember 2021.

'Hi HOME Property Expo' bakal menyediakan lebih 2,000 unit hartanah dengan nilai keseluruhan sebanyak RM1 bilion.

Untuk maklumat lebih lanjut atau menyertai 'Hi HOME Property Expo' bakal pembeli boleh melayari www.hihome.asia atau menghubungi 012-6451969.