GDPR Cookie Consent by Free Privacy Policy Generator

HOC 2020 akan tarik lebih ramai pembeli rumah pertama - CEO IQI Global

KUALA LUMPUR: Langkah memperkenalkan semula Kempen Pemilikan Rumah (HOC) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) akan menarik lebih ramai pembeli kali pertama ke dalam pasaran pada separuh kedua 2020, kata ketua firma pelaburan dan khidmat nasihat.

Ketua Pegawai Eksekutif IQI Global Group, Kashif Ansari menyifatkannya sebagai satu inisiatif yang disambut baik memandangkan ia akan memudahkan pembeli untuk memasuki pasaran hartanah sekali gus mengurangkan lambakan hartanah semasa yang tidak terjual.

"Kami berharap kerajaan dapat melonggarkan dasar pemberian pinjaman supaya pembeli rumah lebih mudah memperoleh pinjaman," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin semasa membentangkan PENJANA, yang disiarkan secara langsung menerusi saluran radio dan televisyen semalam berkata, untuk merancakkan semula pasaran hartanah, beberapa insentif cukai akan disediakan.

Beliau berkata antaranya, menerusi HOC, pengecualian duti setem akan diberikan ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah kediaman yang bernilai di antara RM300,000 hingga RM2.5 juta.

Selain itu pengecualian duti setem ke atas 14 surat cara pindah milik adalah terhad kepada RM1 juta pertama nilai rumah kediaman tersebut manakala duti setem sepenuhnya diberikan ke atas perjanjian pinjaman, katanya.

Perdana menteri berkata pengecualian ini akan berkuat kuasa bagi perjanjian jual beli yang ditandatangani mulai 1 Jun, 2020 hingga 31 Mei, 2021 tertakluk kepada syarat pemberian diskaun sekurang-kurangnya 10 peratus oleh pihak pemaju.

Sementara itu, Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) memuji kerajaan yang mengambil langkah memperkenalkan pakej pemulihan ekonomi komprehensif di bawah PENJANA yang merangkumi semua segmen ekonomi.

Presiden, Tan Sri Soh Thian Lai berkata FMM menyambut baik inisiatif kerajaan untuk terus mewujudkan pekerjaan selain pendekatan dalam menangani pengangguran menerusi beberapa inisiatif seperti insentif pengambilan pekerja daripada golongan belia dan penganggur; perluasan Program Subsidi Upah (WSP) dan program peningkatan kemahiran melalui latihan dan penempatan di samping perantisan.

"FMM, bagaimanapun, berharap WSP diperluaskan kepada semua pekerja tanpa mengira tahap upah dan penghapusan had 200 pekerja bagi setiap syarikat," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata FFM juga menyambut baik usaha kerajaan yang sedang menggubal Rang Undang-undang COVID-19 (Langkah Sementara) untuk mengurangkan kesan negatif berpotensi ke atas aktiviti ekonomi disebabkan pelanggaran kontrak dan penguatkuasaan tindakan insolvensi terhadap kumpulan yang terjejas akibat COVID-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan.

"Kami menggesa usaha penggubalan rang undang-undang itu dipercepatkan begitu juga tarikh muktamad pewartaan.

"Kami turut menunggu untuk menjadi wakil dalam Jawatankuasa Khas Pekerjaan Nasional yang akan dipengerusikan bersama Menteri Kewangan dan Menteri Sumber Manusia," katanya.