GDPR Cookie Consent by Free Privacy Policy Generator

Kompleks PKNS, SACC Mall mula operasi Rabu

KUALA LUMPUR: Kompleks PKNS Shah Alam, SACC Mall dan Kompleks PKNS Bangi bakal beroperasi semula bermula 6 Mei 2020 dengan waktu operasi normal bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.

Ini susulan dengan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakkan Bersyarat (PKPB) yang membenarkan pengoperasian semula pusat membeli-belah dan beberapa sektor ekonomi yang lain.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC), Sr Fakru Radzi berkata, pembukaan semula pusat membeli-belah di bawah pengurusannya termasuk aset PREC yang lain telah dijadualkan pada 6 Mei 2020.

Katanya, ini untuk memberi ruang kepada proses sanitasi, pembersihan bangunan serta bagi melaksanakan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan garis panduan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara.

Beliau berkata, ketiga-tiga pusat membeli belah itu kebiasaanya menjadi tumpuan terutamanya ketika Ramadan.

"PREC sebelum ini telah menutup hampir kesemua premis di pusat membeli-belah itu kecuali perkhidmatan penting serta membatalkan penganjuran bazar Ramadan dan Festival Ramadan Selangor (FESTIRA) bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Walaupun kami sangat mengalu-alukan kedatangan pengunjung bagi membantu jualan peniaga di pusat membeli-belah kami, keselamatan pengunjung lebih utama.

"PREC turut memperuntukkan dua hari bagi membenarkan penyewa di Kompleks PKNS Shah Alam, SACC Mall dan Kompleks PKNS Bangi untuk membuat pembersihan semula kedai pada 4 dan 5 Mei 2020." katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pejabat pengurusan PREC dan pejabat di semua aset PREC termasuk Menara PKNS Petaling Jaya dan Menara Worldwide pula telah mula beroperasi hari ini.

Radzi berkata, PREC sudah membuat persediaan dari segi keselamatan dan kebersihan dengan merangka Prosedur Operasi Standard (SOP) dan garis panduan untuk pembukaan semula bangunan sejak awal Perintah Kawalan Pergerakkan di umumkan.

Antara langkah keselamatan yang akan dipraktikkan di pusat membeli-belah PREC bagi mengelakkan jangkitan COVID-19 adalah seperti emperketatkan kawalan dan proses kemasukkan ke dalam premis bagi pengunjung, kakitangan dan penyewa dengan melakukan saringan suhu dan mencatat maklumat pengunjung.

Membuat penandaan di lantai bagi memastikan pengunjung mematuhi penjarakan sosial, memastikan kakitangan kompleks, penyewa dan pengunjung mematuhi garis panduan penjarakan sosial, selain mewajibkan pemakaian topeng mulut dan hidung sebelum memasuki premis bangunan.