GDPR Cookie Consent by Free Privacy Policy Generator

Mitsui sertai pembangunan fasa kedua BBCC

KUALA LUMPUR: Mitsui Fudosan (Asia) Malaysia Sdn Bhd (MFAM) memeterai perjanjian usaha sama (JV) dengan BBCC Development Sdn Bhd (BBCCD) untuk menubuhkan syarikat usaha sama dikenali sebagai MFBBCC Serviced Suites Sdn Bhd (JVCo).

Usaha sama itu adalah untuk pembelian blok kediaman perkhidmatan di pembangunan Bukit Bintang City Centre (BBCC) bernilai RM242 juta.

Dalam kenyataan bersama, ia berkata, MFAM akan memegang 51 peratus dan BBCCD 49 peratus dalam JVCo yang akan mengurus dan mengendalikan hartanah itu termasuk pemberian sewaan unit bagi hartanah berkenaan.

BBCC ialah projek usaha sama antara UDA Holdings Bhd, Eco World Development Group Bhd (EcoWorld Malaysia) dan Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Pembangunan yang terletak di kawasan seluas 19.4 ekar (7.8 hektar) itu dijangka menjadi gerbang baharu kepada segi tiga emas Kuala Lumpur dan sebagai pusat Greater Kuala Lumpur pada masa akan datang.

Blok kediaman perkhidmatan setinggi 44 tingkat itu mempunyai 269 unit terdiri daripada pangsapuri satu, dua dan tiga bilik bersaiz binaan 532 kaki persegi sehingga 1,188 kaki persegi.

Ia adalah sebahagian daripada fasa kedua BBCC termasuk satu lagi menara kediaman dan dua blok bangunan komersial.

Blok kediaman perkhidmatan itu dijangka siap pada akhir 2023.

"Menerusi fasa pertama BBCC yang berjalan lancar dan jangkaan penyerahan pertama pada 2021, penjualan en-bloc kediaman perkhidmatan di bawah fasa kedua mengesahkan cadangan dan potensi menarik projek itu sebagai teras pusat bandar," kata Pengerusi UDA Holdings, Datuk Jalaluddin Alias.

Sementara itu, Pengarah Urusan MFAM, Takehito Fukui berkata perkongsian berterusan syarikat itu adalah kemajuan daripada pembabitannya dalam pembangunan fasa pertama projek pusat membeli-belah Mitsui Shopping Park Lalaport.