GDPR Cookie Consent by Free Privacy Policy Generator

COVID-19: Peluang baik kepada rakyat Malaysia berkemampuan beli rumah

Pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menawarkan peluang baik kepada rakyat Malaysia yang berkemampuan untuk membeli hartanah kediaman, demikian menurut pandangan pakar industri hartanah.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Hartamas Real Estate Eric Group Lim berkata ini berikutan langkah pemaju menawarkan pakej yang lebih menarik antaranya diskaun tambahan, rebat dan perabot untuk menarik minat pembeli.

"Saya yakin situasi ekonomi semasa negara berada dalam kedudukan yang lebih baik berbanding Krisis Kewangan Asia 2008 dan bank-bank kita lebih kukuh dan mempunyai modal mencukupi pada masa ini.

"Banyak syarikat besar dan syarikat awam berhad ke arah pembiayaan mudah tunai berbanding bergantung kepada pinjaman bank," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurut Lim, ramai pemaju berhasrat menjalin usaha sama dengan pemilik tanah supaya keadaan lebih terkawal sepanjang tempoh krisis ini.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Impetus Alliance Datuk Seri Michael Yam berkata situasi pada masa ini merupakan peluang keemasan kepada pemaju untuk meneliti semula pasaran dan mengembangkan kapasiti mereka.

Beliau turut menzahirkan harapan agar kerajaan meneruskan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) untuk merangsang pasaran hartanah dan pembeli hartanah.

Pengarah Axis REIT Managers Bhd Stephan Tew berkata, pihak bank kini memainkan peranan lebih proaktif dengan menawarkan pakej rangsangan dan penangguhan bayaran pinjaman untuk membantu pemilik perniagaan dan individu semasa krisis ini.

"Sektor ekonomi yang berbeza terjejas dengan cara berbeza dan kuncinya ialah memahami sektor mana paling terjejas teruk. Mengikut pengalaman, pemilik perniagaan kecil khususnya yang meraih pendapatan menurut keperluan merupakan golongan yang paling terjejas teruk," katanya.

Pandangan mengenai unjuran pasaran hartanah ketika tempoh COVID-19 dan PKP itu dikongsikan Lim, Yam dan Tew pada seminar berasaskan web 'Program Harapan MIEA' anjuran Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA).

MIEA akan meneruskan program itu menerusi platform Facebook dan ZOOM pada 10 pagi dan 3 petang setiap hari untuk membantu ahlinya meningkatkan profesionalisme dan menangani cabaran yang mungkin dihadapi semasa dan selepas PKP.