GDPR Cookie Consent by Free Privacy Policy Generator

PKNS sasar 100 unit hartanah mampu terjual menerusi program 'PKNS X HOMES'

SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyasarkan 100 unit hartanahnya dengan nilai sehingga RM46 juta mampu terjual menerusi program 'PKNS X HOMES' yang bermula Jumaat hingga 8 Mac ini di pusat membeli-belah SACC, di sini.

Program 'PKNS X HOMES' yang dilancarkan pada Sabtu oleh Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain, adalah penjenamaan semula pameran Koleksi Hartanah PKNS bagi meningkatkan lagi prestasi jualan perbadanan itu.

Mohd Azizi berkata, dengan slogan 'Hentikan Pencarian, Inilah Penemuan', program berkenaan turut memperkenalkan inisiatif baharu iaitu 'PKNS X LINE' dan 'PKNS X SQUAD' bagi memudahkan orang awam mendapatkan khidmat nasihat mengenai proses jual beli produk hartanah perbadanan berkenaan.

"Menerusi program ini, jika kita berjaya mencapai 70 peratus jualan pun ia sudah memadai memandangkan trend pembelian hartanah agak perlahan ketika ini.

"Program penjualan hartanah siri pertama tahun ini juga disertai lima anak syarikat PKNS serta institusi perbankan bagi memudahkan urusan permohonan pembiayaan oleh pembeli sepanjang tempoh pameran," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran itu di sini, Sabtu.

Lima anak syarikat PKNS yang terlibat adalah PKNS Engineering and Construction Berhad, Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd, Selaman Sdn Bhd, Datumcorp International Sdn Bhd dan Worldwide Holdings Berhad.

Menurut Mohd Azizi, untuk promosi jualan itu, lebih lima projek perumahan yang siap sepenuhnya dan sedia diduduki ditawarkan kepada pembeli meliputi kawasan Shah Alam, Bernam Jaya, Kota Puteri, Alam Nusantara dan Antara Gapi.

Tambah beliau, bagi menggalakkan lagi pembelian hartanah sempena program itu, pihaknya menawarkan diskaun sehingga 20 peratus serta kos guaman perjanjian jual beli dan duti setem 'Memorandum of Transfer (MOT)' percuma bagi projek terpilih.

"Pengunjung pada program ini juga berpeluang memenangi hadiah utama melalui cabutan bertuah iaitu sebuah kereta Proton X70 bernilai hampir RM100,000 bagi setiap pembelian hartanah," katanya.