GDPR Cookie Consent by Free Privacy Policy Generator

Selesaikan isu rumah tak terjual agenda...

Kerajaan akan terus menjadikan isu perumahan mampu milik dan penyelesaian yang tepat kepada hartanah siap dibina tidak terjual sebagai agenda utama tahun ini.

Pemantauan rapi terhadap pelaksanaan program di bawah Dasar Perumahan Nasional 2.0 (2018-2025) dan pelbagai insentif yang diperkenalkan untuk mempromosi pemilikan rumah dalam kalangan rakyat juga diharapkan dapat mengatasi situasi kediaman siap

dibina tidak terjual pada tahun akan datang.

Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Malaysia (JPPH) menerusi Laporan Pasaran Harta Tanah Malaysia 2019 berkata, walaupun menghadapi ekonomi yang mencabar, pasaran hartanah Malaysia dijangka kekal berdaya tahan pada tahun-tahun akan datang.

Tegasnya, pelbagai insentif sudah diberikan oleh kerajaan dalam usaha mengurangkan kesan terhadap pasaran hartanah.

"Bagaimanapun, dalam pasaran yang mencabar, ditambah pula

dengan penurunan keyakinan pengguna dan komuniti perniagaan, aktiviti serta serapan pasaran dilihat akan cenderung lebih perlahan," katanya.

Mengenai prospek, JPPH berkata, terdapat kemungkinan risiko penurunan jangka pendek yang tinggi kesan daripada wabak COVID-19 yang tidak dijangka di seluruh dunia.

Ini, katanya mungkin merendahkan jangkaan pertumbuhan ekonomi, terutama bagi separuh pertama 2020.

"Wabak yang menjejaskan seluruh dunia ini dijangka akan mempengaruhi ekonomi dunia dan juga ekonomi Malaysia, khususnya sektor berkaitan pelancongan seperti syarikat penerbangan, peruncitan, makanan dan minuman dan hospitaliti, termasuklah sektor perkilangan serta perkhidmatan terpilih.

"Sejauh mana kesannya ke atas ekonomi Malaysia akan bergantung

kepada tempoh dan penyebaran wabak itu bukan saja di Malaysia tetapi juga di negara lain, terutama negara yang menjadi rakan dagang utama Malaysia," katanya.

Ia berkata, sejajar jangkaan Bank Negara Malaysia (BNM) bahawa ekonomi Malaysia akan kembali meningkat pada 2021, selari dengan unjuran pemulihan global, pasaran hartanah juga diramalkan berada dalam aliran yang sama.

"JPPH akan terus memantau serta menilai kesan yang dijangka akibat pandemik ini ke atas pasaran hartanah Malaysia dan akan

memberikan nasihat kepada kerajaan untuk memastikan pasaran kekal teguh," katanya.